Kelantan Cipta Sejarah
|
Indra Putra Mahyuddin penjaring gol kemenangan Kelantan |
Kelantan mengesahkan selaku kuasa besar bola
sepak negara musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas
menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila
menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam babak akhir, semalam.
Indra Putra Mahayuddin layak dijulang selaku wira The Red Warriors apabila
jaringannya pada masa tambahan pada minit ke-96 hasil serangan pantas,
menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 sekali gus
menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam sejarah bola sepak Kelantan.
Jaringan kemenangan daripada Indra itu seolah-olah mengesahkan kata-kata
pengendali Kelantan, Bojan Hodak pada sidang media pengurus pasukan kelmarin,
yang mengatakan ATM tidak dapat bertahan sehingga penghujung perlawanan kerana
terdiri daripada ramai pemain berumur.
|
Nor Shahrul Idlan Talaha (Mat Yo) menjaringkan 2 gol |
Berpunca daripada gerakan pantas Shakir Shaari
dan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya yang tidak dapat dibendung pemain ATM,
Indra pantas mencari ruang kosong sebelum melepaskan rembatan menarik ke arah
sebelah kanan pintu gol.
Sebelum itu, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang diangkat sebagai pemain
terbaik perlawanan akhir dua kali meletakkan Kelantan di hadapan pada minit
ke-44 dan 50, namun dapat disamakan sebanyak dua kali oleh ATM melalui Rezal
Zambery Yahya pada minit ke-49 dan Marlon Alex James pada minit ke-62.
|
Badhri Radzi (Piya) kapten Kelantan terbaik sepanjang zaman |
Kekalahan ATM bermakna tiada lagi magis
Hairuddin Omar dalam penampilan final kelima Piala Malaysia apabila buat
pertama kali pemain berusia 33 tahun itu gagal membawa pulang trofi keagungan
bola sepak negara bersama pasukan yang diwakilinya selepas melakukannya empat
kali sebelum ini bersama Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Dalam aksi akhir yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz
Petra serta kira-kira 80,000 penonton itu, kedua-dua pasukan berjaya
menampilkan permainan menghiburkan tetapi diselangi kekecohan di babak terakhir
perlawanan ekoran keputusan pengadil yang mengundang kontroversi.
|
Marlon Alex James menjaring satu gol untuk ATM |
Malah, hampir terjadi pergaduhan ketika
perlawanan tinggal lima minit untuk ditamatkan selepas pemain ATM bertindak
meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir yang cedera diberikan rawatan
namun pengadil, Nafeez Abd. Wahab pantas membendung insiden lebih buruk daripada
terjadi.
Barisan tengah ATM dilihat cukup pincang pada babak pertama biarpun dibarisi
pemain berpengalaman seperti Rezal Zambery Yahya dan Bruno Martelotto apabila
gagal merencanakan sebarang gerakan menarik.
Christie Jayaseelan dilihat sedikit gugup pada penampilan pertama di final
selain Marlon Alex James dapat dirantai kemas oleh Obinna Nwaneri.
Situasi itu bijak dieksploitasi oleh Kelantan sepenuhnya yang mempamerkan
rentak penuh bertenaga dengan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat dengan
salah satunya menembusi gawang ATM pada minit ke-44.
|
Mat Yo pemain terbaikkkk perlawanan akhir. |
Kesilapan Farizal Harun yang tidak menangkap
kemas rembatan Mat Yo yang menerima umpanan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya
membuka tirai jaringan Kelantan, ketika perlawanan separuh masa pertama hanya
menunggu masa untuk ditamatkan.
Pengendali ATM, B. Sathianathan bagaimanapun ternyata mempunyai percaturannya
tersendiri pada separuh masa kedua dan pasukannya hanya menunggu masa selama
empat minit sebaik permainan bermula untuk menyamakan kedudukan melalui Rezal
Zambery hasil sepakan leret dari jarak 25 meter.
Kegembiraan ATM bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila Norshahrul
sekali lagi membuktikan bisanya belum hilang menerusi serangan balas pantas dan
memperdaya K. Reuben sebelum melepaskan sepakan yang tidak diselamatkan
Farizal.
Namun, semangat juang ATM sama sekali tidak
padam, percaturan bijak Sathia memasukkan dua pemain gantian, Venice Elphi
Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih peranan sayap kiri pada minit
ke-60 ternyata membuahkan hasil mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.
Selepas Venice dijatuhkan berhampiran kotak penalti di sebelah kiri pintu gol
Kelantan, Marlon melonjak tinggi menanduk masuk ke dalam gawang bagi gol
penyamaan ATM pada minit ke-62.
Kelantan bagaikan berada dalam lamunan kira-kira 15 minit perlawanan selepas
ATM dapat menyamakan kedudukan tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan
sehingga memaksa perlawanan diheret masa tambahan.
Sumber : Utusan