Assalamualaikum
|
Lokasi: Rumah Mek, Kg. Kusial Baru, Tanah Merah, Kelantan |
Lama sungguh tak menulis(mencatat )apa-apa di blog ini. Kali terakhir pos di blog ini adalah pada tahun 2013, sekarang dah tahun 2020 bermakna dah 7 tahun blog ini ditinggal bersawang, rasanya bukan setakat sawang tapi dah jadi hutan belantara yang ditumbuhi pelbagai spesis pokok (tidak termasuk gaji pokok). 7 tahun adalah satu tempoh yang panjang, kalau bela musang mungkin musang tu dah berbulu ayam ataupun ayam tu dah dikejar musang seperti lagu Didi & Friend.
Ada lagi ke orang yang baca blog? Atau adakah aku yang sudah ketinggalan zaman? Di zaman yang serba-serbi pantas ini orang lebih suka berinteraksi(berkomunikasi) melalui FB, IG,WhatsApp dan seumpamanya. Blog ni aku mulakan pada tahun 2008, kalau boleh aku nak kekalkan blog ini walaupun bukannya rajin sangat nak berblog ni.
Aku pun sebenarnya bukan pandai sangat menulis(menaip) ni, bila ada masa lapang tu aku cuba la jugak gagahkan diri (dan kuatkan jari-jemari) untuk mencatit(mencatat) serba sedikit, seperti kata pepatah sikit-sikit lama lama jadi habis.
Sempena 1 Syawal 1441H (24/5/2020), diucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada semua(seluruh) umat islam di mana sahaja anda berada. Mohon maaf Zahir dan Batin. Tahun ini aku tak balik kampung dan beraya di KL sahaja disebabkan wabak COVID19 yang melanda negara kita dan seluruh dunia. Arahan pihak kerajaan agar 'stay at home' hendaklah dipatuhi bagi memutuskan rantaian virus berbahaya ini. Mudah-mudahan wabak ini segera berakhir agar kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Buat masa ini kita kena amalkan 'new norm' sehinggalah wabak ini berakhir sepenuhnya.
Selepas 7 tahun aku berjaya mulakan semula blog ini, harapnya ia akan 'hidup' dan pulih dengan adanya 'cerita-cerita' yang menghidupkannya, ataupun menghidupkannya dengan membuat cerita-cerita agar ia nampak hidup. Ok, dah siap pun posting ni, jadi selepas ni bila pulak nak buat posting baru? 7 tahun lagi? hahahaha..