30 June 2013

Kelantan Juara Piala FA 2013

Keputusan Final Piala FA 2013 : Kelantan vs Johor Darul Takzim
keputusan penuh
Kelantan 1-0 Johor Darul Takzim
Gol dijaringkan oleh Norfarhan pada minit ke 16
tahniah kelantan juara piala fa 2013
***
Jaringan Tunggal Farhan Kekalkan Piala FA Di Kota Bharu
Jaringan tunggal minit ke-15 oleh penyerang Kelantan, Norfarhan Mohamad sudah cukup untuk memberikan kejuaraan kedua Piala FA buat Kelantan selepas menewaskan Johor Darul Takzim FC (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Norfarhan menewaskan penjaga gol JDT, Al-Hafiz Hamzah selepas menerima hantaran cantik dari ketua pasukan, Badri Razi yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
Kelantan menunjukkan mereka lebih berpengalaman dari lawan mereka selepas menguasai hampir sebahagian besar permainan terutamanya pada separuh masa pertama selepas mengasak bertubi-tubi ke gawang JDT.
Gandingan Dickson Nwakaeme, Fakri Saarani dan Norfarhan kerap kali mengucar-ngacirkan bahagian pertahanan lawan namun penyudah yang tumpul gagal menambahka lagi gol buat pasukan dari pantai timur itu.
Kemasukan Lionel Nunez dan K.Thanaraj yang menggantikan Safee Sali serta Andrezinho yang tercedera turut gagal memberi impak buat JDT yang kelihatan begitu lemah dibahagian tengah.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan JDT cuba mencari gol penyamaan pada 15 minit terakhir menerusi serangan bertali arus mereka.
Walaubagaimanapun, benteng pertahanan Kelantan begitu kebal sehingga ke wisel penamat yang akhirnya memberi kemenangan 1-0 kepada anak buah Bojan Hodak.
“Orang ramai membandingka pasukan kami musim ini denga musim lalu namun malam ini (semalam) kami telah membuktikan keupayaan pasukan Kelantan” kata Bojan pada sidang akhbar selepas perlawanan.
“Setiap trofi yang dipertandingkan sangat penting apatah lagi mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar dari memenanginya” tambah Bojan yang cukup berpuashati dengan persembahan anak buahnya.
Sementara itu, penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim mengakui Kelantan lebih hebat daripada pasukannya pada perlawanan tersebut.
“Tahniah kepada Kelantan kerana berjaya menjuarai Piala FA. Pemain mereka nyata lebih berpengalaman dari barisan JDT yang rata-ratanya baru pertama kali beraksi di pentas final.
“Insyaallah, kita akan bangkit semula untuk baki saingan liga serta pada Piala Malaysia selepas Aidilfitri nanti” kata Ismail.
***

Terima Kasih Penyokong Kelantan - Piya
Ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi atau Piya mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan pengurusan, pemain dan paling penting sekali kepada penyokong setia Kelantan diatas kejayaan pasukan tersebut mempertahankan Piala FA selepas menewaskan JDT 1-0 di Bukit Jalil.
“Ini satu kejayaan yang sangat penting buat Kelantan selepas aksi liga tidak begitu menyebelahi kepada kita.
“Alhamdulillah, kita berjaya kekalkan piala ini di Kota Bharu dan terimakasih saya ucapkan kepada semua pihak terutamanya penyokong yang memberikan sokongan padu buat pasukan” kata Piya yang turut memenangi pemain terbaik perlawanan akhir menerusi aksi memukaunya sepanjang permainan.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Piya mengakui Kelantan berpeluang untuk menang besar pada perlawanan tersebut selepas deretan peluang yang terhidang gagal disempurnakan.
“Kita hasilkan banyak peluang pada babak pertama tetapi hanya satu gol sahaja dapat dihasilkan. JDT juga lebih pantas dan laju pada separuh masa kedua namun alhamdulillah, ia sudah cukup buat Kelantan untuk menang perlawanan ini.
Bagi penjaring gol, Norfarhan Muhammad pula, dia begitu terharu dengan kejayaan kali ini apatah lagi jaringannya yang menjadi pemisah antara Kelantan dan juga JDT.
“Menjaringkan gol pada perlawanan akhir adalah saat paling manis bagi diri saya.
“Kelantan telah mara ke final kejohanan ini selama 3 tahun berturut-turut dan pastinya ini akan menyemarakkan semangat kami untuk baki saingan musim ini nanti” kata Farhan.
***
Tuah Angka 16
Episod Piala FA 2013 telah berakhir dan pemenangnya sudah diketahui iaitu juara bertahan Kelantan.
Malam indah buat kapten Kelantan Badri apabila lorongan beliau kepada Norfarhan berjaya disudahi dan seterusnya memastikan Piala FA kekal dibumi Kelantan.
Kebetulan gol tersebut dijaringkan pada minit ke 16 perlawanan bersamaan dengan jersi keramat Piya.Beliau juga diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Tahniah kepada semua pemain yang bermati-matian mempertahankan maruah Kelantan dihadapan puluhan ribu penyokong setia.
Buat JDT anda belum layak lagi untuk beraksi dalam perlawanan sebesar ini..gah pada nama tapi didalamnya penuh ketakutan...
***

Kelantan Juara Lagi
KELANTAN membuktikan status sebagai pasukan gergasi selepas menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Penyerang The Red Warriors, Mohd. Norfarhan Muhammad muncul wira pasukannya apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-16.
Kemenangan itu turut menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas menjulang trofi berprestij negara itu dengan menewaskan Sime Darby 1-0 tahun lalu.
Beraksi di separuh masa pertama, Kelantan jelas menguasai permainan dengan mendominasi bahagian tengah.
Gandingan kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Mohd. Radzi bersama Mohd. Shakir Shaari memberikan impak kepada jentera serang yang kerap kali berjaya menembusi benteng pertahanan Harimau Selatan.
Hasilnya, Bahdri yang juga dikenali sebagai Piya, bijak melorongkan bola kepada Norfarhan dan penyerang Kelantan itu mudah menolak masuk dengan menewaskan penjaga gol Johor DT, Muhammad Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-16.
Tersentak dengan jaringan pertama perlawanan itu, jurulatih Harimau Selatan, Fandi Ahmad melakukan tiga pertukaran pemain iaitu membawa masuk Leonel Nunez, K. Thanaraj dan Ahmad Ezrie Shafie dan mengeluarkan Safee Sali, Andrea Francisco dan Safiq Rahim.
Begitupun, percaturan pengendali kelahiran Singapura itu masih gagal membuahkan hasil sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat aksi babak pertama perlawanan.
Bersambung di separuh masa kedua, Harimau Selatan kembali mengasak benteng pertahanan The Red Warriors, namun Obinna Nwaneri dan Nik Shahrul Azim yang mengetuai benteng pertahanan Kelantan, mempamerkan aksi cemerlang dengan menggagalkan setiap percubaan merbahaya pasukan dari selatan tanah air itu.
Gandingan pertahanan Kelantan itu berjaya menggagalkan setiap asakan jentera serangan Harimau Selatan yang diketuai Norshahrul Idlan Talaha.
Penyerang import Johor DT, Nunez hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma namun percubaan itu masih gagal untuk menewaskan penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-78.
Berselang seminit kemudian, Nurul Azwan Roya berjaya melepasi benteng pertahanan lawan tetapi hantaran lintang itu berjaya dihidu Khairul Fahmi yang mudah menangkap bola itu bagi menyelamatkan keadaan.
Harimau Selatan yang terdesak untuk memburu jaringan penyamaan, akhirnya terpaksa akur selepas gagal menembusi benteng pertahanan The Red Warriors sekali gus menyaksikan Kelantan memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 1-0.
***
Kelantan Pertahan Kejuaraan
KUALA LUMPUR - Kelantan membuktikan masih merupakan gergasi bola sepak negara selepas berjaya mempertahankan Piala FA yang dimenangi tahun lalu dengan menumbangkan Johor Darul Takzim 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jaringan tunggal Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-16 kekal sehingga ke akhir perlawanan tanpa dapat dicabar Johor DT.
Kejuaraan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Kelantan dalam saingan Piala FA yang mula diperkenalkan sejak tahun 1990.
Sementara impian Johor DT untuk mengulangi pencapaian Johor pada tahun 1998 tidak kesampaian di samping gagal muncul kelab pertama memenangi trofi berkenaan.
Di hadapan 90,000 penonton dengan kehadiran penyokong yang seimbang antara kedua-dua pasukan, kegagahan The Red Warriors jelas terlalu sukar dicabar oleh Harimau Selatan dengan penguasaan mutlak dipamerkan bahagian tengah diketuai Mohd. Badhri Mohd. Radzi.
Serangan-serangan pantas yang diterapkan jurulatih, Bojan Hodak membuatkan Johor DT bagaikan hilang punca untuk bangkit.
Badhri dan Nor Farhan jelas menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Johor DT yang kehilangan Mohd. Aidil Zafuan, malah Kamarul Afiq Kamaruddin serta Ahmad Tharmini Saiban tidak senang duduk berdepan kesukaran mengawal pergerakan licik Dickson Nwakaeme.
Segalanya serba tidak menjadi buat Johor DT sejak awal permainan lagi, malah percaturan Fandi Ahmad mempertaruhkan Safiq Rahim di bahagian tengah sia-sia apabila ketua pasukan kebangsaan itu langsung tidak menghadirkan sebarang impak dan dikeluarkan sebaik sahaja bersambung babak kedua.
Tiada kelibat pemain import Argentina, Leonel Nunez dipertaruhkan pada permulaan perlawanan, sebaliknya Fandi Ahmad memilih Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha menerajui barisan hadapan.
Penguasaan penuh The Red Warriors pada 45 minit pertama dengan sekurang-kurangnya tujuh peluang diperoleh melalui gerakan oleh Ahmad Fakri Saarani, namun disia-siakan.
Gol yang dicari-cari oleh Kelantan akhirnya menjelma menerusi hantaran bijak Badhri yang menghidu ruang kosong kedudukan Mohd. Nor Farhan Muhammad sebelum rembatan leretnya gagal diselamatkan oleh Muhd. Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-16.
Johor DT bagaikan seolah-olah tidak beraksi pada separuh masa pertama ketika Fandi sudah terpaksa mengeluarkan Safee pada minit ke-18 dan Andrezinho, 19 minit kemudian kerana mendapat kecederaan.
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang banyak berehat akhirnya terpaksa bertungkus lumus pada 30 minit terakhir permainan melalui hantaran-hantaran silang yang dicipta oleh K. Thanaraj serta Nurul Azwan Roya ketika momentum The Red Warriors sedikit menurun.
Dua sepakan percuma yang diperolehi oleh Nunez pada minit ke-78 dan 82 juga gagal memberi impak apabila gagal menepati sasaran.